DALAM keadaan sekarang, bila mana banyak petunjuk membayangkan kesukaran Pakatan Rakyat mengekalkan momentum kemenangan 2008, adalah menjadi kewajiban untuk Pakatan Rakyat memperbaiki kriteria calon-calon yang bakal bertanding dalam pilihanraya umum akan datang.
Kita tidak mahu kesilapan meletakkan ramai calon kurang berwibawa, yang akhirnya memilih menjadi Bebas atau masuk dalam mana-mana komponen Barisan Nasional setelah menang, berulang lagi dalam pilihanraya yang akan datang ini.
Teratas sekali sudah tentulah menyingkirkan mana-mana calon yang diketahui mempunyai rekod perkhidmatan dan masalah peribadi yang boleh mencalar imej parti dan dirinya sendiri.
Dalam hal ini, penulis ingin merujuk kepada Datuk Mansor Othman, Timbalan Ketua Menteri 11 (TKM11) Pulau Pinang dari PKR yang diketahui mempunyai ‘masalah dalaman’ tersendiri, yang mana kalau tersebar nanti mampu menggugat peluang Pakatan Rakyat mengekalkan kerusi di Penanti.
Walaupun Pulau Pinang boleh dikatakan kawasan selamat untuk Pakatan Rakyat mengekalkan kuasa, tapi penulis jangka BN akan memberi cabaran sengit disemua kawasan majoriti Melayu dengan dakyah yang bersifat perkauman.
Justeru, amat penting sekali untuk Penanti dipertahankan dari jatuh ke tangan BN. Apatah lagi penulis mendengar bekas penyandangnya, Mohamad Fairus Kamarudin akan dicalonkan semula oleh BN di kawasan tersebut.
Dengan ‘masalah dalaman’ Mansor Othman yang disebutkan di atas, penulis tidak rasa beliau mampu mengekalkan kerusi tersebut jika beliau terus dicalonkan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum akan datang, atau pada bila-bila masa kerajaan negeri dibubarkan.
Malah kalau boleh penulis mahu Mansor mengosongkan jawatan TKM I Pulau Pinang yang sedang dijawatnya sekarang, sebelum ‘masalah dalaman’ yang penulis sebutkan ini mencalarkan imej bersih kerajaan negeri sekarang.
Kelihatannya, peluang dan jawatan yang diberikan parti kepada Mansor menjadikannya bongkak, angkuh dan tidak pedulikan undang-undang.Beliau tidak menggunakan peluang dan jawatan yang diberikan parti kepadanya untuk berkhidmat kepada rakyat dan menaikkan intergriti kerajaan negeri dalam masa yang sama, sebaliknya beliau menggunakan kedudukkan itu untuk kepentingan dirinya sendiri.